KUALA LUMPUR – Acara sukan tempur yang paling dinanti-nantikan tahun ini, Kejohanan Wilayah Pahlawan International Muay Thai Championship 2025 akan berlangsung hari ini di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Apa yang menarik, dua bintang besar dunia Muaythai, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo, iaitu sensasi Muaythai Malaysia yang kini mencipta nama di pentas antarabangsa dan legenda Muay Thai dari Thailand yang kini bergelar juara dunia, Superlek Kiatmoo9, akan membuat penampilan istimewa dalam acara tersebut.
Menurut Sinar Harian, Jojo, dijangka menjadi tarikan utama malam tersebut terutama dengan kejayaan luar biasanya dalam ONE Championship telah meletakkan namanya sebagai antara prospek paling berbakat dalam dunia Muaythai.

Kehadirannya dalam Wilayah Pahlawan 2025 bakal menjadi momen istimewa buat peminat tempatan yang ingin melihat lebih dekat bintang kelahiran Sarawak ini.
Selain itu, tambah akhbar tersebut, kejohanan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Superlek yang dikenali dengan ketangkasan dan teknik serangannya yang tajam.
Superlek bakal membuat penampilan khas dalam acara ini, memberi peluang kepada peminat sukan tempur tempatan untuk bertemu dan mengenali lebih dekat antara ikon terbesar dalam dunia Muaythai.
Menaikkan sukan Muaythai
Menurut penganjur Wilayah Pahlawan 2025, Muhammad Faizol Mohd Mokhtar, kejohanan ini bukan sekadar satu pertandingan biasa, tetapi platform untuk menaikkan sukan Muaythai di Malaysia serta memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Platform untuk menaikkan sukan Muaythai dan pelancongan di Malaysia serta memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Ia juga turut disokong Tourism Malaysia dan menjurus kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Malah kejohanan ini juga menyaksikan buat julung kalinya seminar Muay Thai bersama petinju nombor satu dunia diadakan di Malaysia,” katanya seperti dilaporkan oleh Sinar Harian.
Antara yang bakal beraksi dalam kejohanan ini termasuk Miki Ghazali, adik kepada Jojo, yang semakin mencuri perhatian dalam dunia Muaythai tempatan.
Selain pertarungan sengit antara petarung dari dalam dan luar negara, penonton juga akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi bertemu peminat bersama Jojo dan Superlek, pameran Muay Thai serta jualan barangan eksklusif kejohanan.
Wilayah Pahlawan 2025 bakal menjadi pentas penuh aksi, debaran dan semangat juang yang tidak boleh dilepaskan.
Antara pertembungan menarik pada Kejohanan Wilayah Pahlawan International Muay Thai Championship 2025:



