Ringkasan AI
- Dilahirkan di Kota Bharu, Ee Sri Embun memulakan perjalanan Muaythai secara sembunyi akibat tentangan keluarga yang menganggap sukan ini tiada masa depan. Minat mendalam mendorongnya meneruskan latihan hingga keluarganya akhirnya mengetahui selepas 15 perlawanan profesional.
- Dalam lebih 20 tahun penglibatan, Ee Sri Embun menyertai 110 perlawanan dengan kejayaan seperti Juara Kelab-Kelab Kebangsaan (2015) dan Juara Super 4 Rayani Air (2014). Perlawanan paling mencabar adalah menentang peninju Terengganu yang lebih besar daripadanya, berakhir dengan keputusan seri.
- Kini sebagai jurulatih Muaythai PDRM, beliau melatih generasi muda dan menyeru lebih sokongan kepada sukan ini. Kisahnya menjadi inspirasi kepada ramai, menunjukkan keberanian dan keazaman mampu mengatasi segala cabaran.
Nama Muhammad Ridhwan Bin Mat Zain mungkin tidak asing bagi peminat Muaythai di Malaysia, tetapi ramai yang mengenalinya dengan nama gelaran lebih ikonik, Ee Sri Embun.
Di sebalik kejayaan dan populariti yang diraihnya hari ini, terdapat perjalanan berliku penuh cabaran dan pengorbanan.
Dilahirkan pada 13 Jun 1990 di Kota Bharu, Kelantan, beliau kini merupakan ikon Muaythai yang tidak hanya membanggakan tanah air, tetapi juga membawa sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

Sebagai seorang anak muda yang membesar di Kampung Kutan Hulu, Wakaf, Tumpat, perjalanan Ee Sri Embun ke dunia Muaythai penuh liku.
Keinginan mendalam untuk menceburi seni mempertahankan diri ini sering kali berdepan tentangan keras daripada keluarganya.
“Mak ayah saya melarang keras saya menyertai Muaythai. Mereka anggap ia sukan ganas dan tiada masa depan,” jelasnya.

Namun, rasa cinta terhadap sukan ini membuatkan beliau nekad mengambil risiko.
Pada awal pembabitannya, beliau belajar secara ‘bersembunyi’ pada waktu malam, memberi alasan kepada keluarganya bahawa dia menghadiri sesi belajar bersama rakan-rakan.
Segalanya berubah selepas 15 perlawanan profesional, apabila poster gambarnya terpampang di warung kopi kampungnya, akhirnya membongkar rahsia yang disimpan sekian lama.

“Ketika itu, ayah saya tahu. Walaupun pada awalnya ada kekecewaan, saya rasa bangga dapat menunjukkan bahawa Muaythai adalah sesuatu yang saya minati dan mampu buat dengan baik,” tambahnya.
Selama lebih 20 tahun penglibatan dalam dunia Muaythai, Ee Sri Embun telah melakarkan sejarah dengan menyertai lebih kurang 110 perlawanan.
Dalam setiap pertarungan, beliau menunjukkan keberanian luar biasa dan disiplin tinggi, menjadikannya antara nama besar dalam arena sukan ini di Malaysia.
Antara kejayaan tertinggi beliau termasuk:
• Juara Kelab-Kelab Kebangsaan Kategori 63kg (2015)
• Juara Muaythai Amatur Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (2015)
• Juara Super 4 Rayani Air International Challenge (2014)
Namun, bukan semua perlawanan berakhir dengan kegemilangan.

Salah satu perlawanan yang paling diingati oleh Ee Sri Embun ialah ketika beliau menentang peninju dari kelab muaythai Kayu Kelat dari Terengganu.
“Peninju itu jauh lebih besar daripada saya secara fizikal. Dari pusingan pertama hingga keempat, saya hanya mampu bertahan.
Saya cuba bangkit di pusingan kelima, tetapi ia terlalu lewat untuk mengubah keputusan. Walaupun perlawanan berakhir seri, kesakitannya saya rasakan sehingga keesokan hari,” katanya.
Kini, Ee Sri Embun telah meninggalkan arena pertarungan profesional untuk memberi tumpuan sebagai jurulatih Muaythai bagi Muaythai Sang Saka Biru Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Berpusat di Dewan Tinju dan Muaythai Pulapol Kuala Lumpur, beliau mendidik generasi baharu untuk meneruskan legasi Muaythai PDRM.
Sebagai jurulatih, beliau mengakui bahawa peranannya kini lebih mencabar tetapi amat bermakna.
“Melatih orang lain memerlukan kesabaran, terutama apabila mereka baru bermula. Saya mahu setiap anak muda yang saya latih bukan sahaja menjadi peninju yang hebat, tetapi juga individu yang berdisiplin dan mempunyai nilai hidup yang tinggi,” ujarnya.

Ee Sri Embun percaya bahawa sukan Muaythai di Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang.
Namun, beliau menyeru pihak berwajib untuk memberikan lebih banyak perhatian dan sokongan kepada sukan ini.
“Sukan ini bukan sekadar seni mempertahankan diri. Ia boleh menjadi satu jalan kerjaya untuk mereka yang serius mahu mencipta nama. Kita sudah lihat bagaimana Jojo dan Alif Rakib menerima pengiktirafan di dalam dan luar negara.
“Jika bakat tempatan diberi sokongan dari peringkat awal, lebih ramai lagi boleh mencapai kejayaan seperti mereka,” katanya penuh harapan.

Beliau juga percaya bahawa sukan Muaythai perlu diperkenalkan lebih awal di peringkat akar umbi, sama ada di sekolah mahupun komuniti setempat.
“Sukan ini bukan hanya tentang bertarung. Ia mengajar disiplin, daya tahan mental, dan semangat juang – nilai-nilai yang penting untuk membentuk individu yang berjaya,” tambahnya.
Bagi Ee Sri Embun, perjalanan hidupnya adalah kisah tentang keberanian, kecekalan, dan cinta terhadap sukan Muaythai.
Dari seorang anak muda yang perlu berlatih secara bersembunyi hingga menjadi jurulatih yang dihormati, beliau membuktikan bahawa mimpi boleh menjadi kenyataan jika kita berusaha tanpa mengenal penat lelah.

“Muaythai telah memberikan saya banyak perkara – bukan hanya kejayaan, tetapi juga pengalaman yang membentuk siapa diri saya hari ini.
“Harapan saya adalah untuk melihat sukan ini terus berkembang dan diiktiraf sebagai salah satu sukan utama di Malaysia,” katanya.
Ee Sri Embun kini bukan sekadar nama, tetapi simbol keberanian dan ketabahan dalam dunia sukan Muaythai.
Sebuah inspirasi kepada generasi muda, beliau telah membuktikan bahawa apa sahaja cabaran boleh diatasi apabila kita mempunyai keazaman yang tidak berbelah bahagi.